Saturday, April 28, 2012

Keyakinan hanya pada-Nya...

Bismillahirrahmanirrahim...


Assalamualaikum w.b.t. ...


Sebenarnya nak update blog 25hb iaitu hari Rabu baru-baru nie tapi ada beberapa halangan yang tidak dapat dielakkan, tapi alhamdulillah, malam nie Allah bagi kekuatan nak menaip dan berkongsi sedikit, insyaAllah, sesuatu yang moga-moga memberi manfaat kepada kita semua. InsyaAllah...=)

Saya nak berkongsi sedikit tentang keyakinan kita kepada Allah. Cuba tanya diri kita sendiri, sebanyak manakah kita meletakkan keyakinan atau kebergantungan kepada Allah?? Kita sebenarnya wajib meletakkan keyakinan dan kebergantungan kita 100% hanya kepada Allah, di samping kita berusaha bersungguh-sungguh, berdoa dan akhir sekali barulah kita bertawakkal kepada Allah. InsyaAllah, cepat atau lambat, jika kita telah berusaha setimpal dengan apa yang kita hajatkan dan berdoa, Allah pasti akan memakbulkan. InsyaAllah. 


Tapi, dalam masa yang sama, jika Allah tidak memakbulkan doa kita, jangan terus membuat kesimpulan bahawa Allah tidak sayangkan kita, tetapi, sentiasalah bersangka baik dengan Allah. Mungkin, bagi Allah, sesuatu yang kita hajatkan itu, sebenarnya tidak baik untuk kita, seperti yang tercatat dalam hadis ini :

“Cintailah apa yang kamu cintai sekadarnya saja, boleh jadi apa yang kamu cintai itu menjadi sesuatu yang paling kamu benci pada suatu hari nanti. Bencilah Sesuatu yang yang kamu benci sekadarnya saja, boleh jadi ia akan menjadi sesuatu yang paling kamu sukai pada suatu hari nanti.”
(HR. Tirmidzi)

 Jadi, apa yang boleh kita simpulkan di sini, Allah tidak akan pernah mengecewakan setiap hamba-hamba-Nya. Setiap yang Dia lakukan dan berikan, semuanya adalah yang terbaik untuk kita. Maha Suci Allah, Dia sentiasa memberi apa yang kita inginkan, tapi, adakah kita sudah lakukan apa yang Allah perintahkan?? MasyaAllah. Saya yakin, setiap apa yang berlaku di atas muka bumi ini adalah atas kehendak-Nya. Allah ada berfirman, yang bermaksud :

"Wahai manusia! Kamulah yang memerlukan Allah; dan Allah Dialah Yang Mahakaya (tidak memerlukan sesuatu), Maha Terpuji."

[Surah Fatir, ayat 15]

Ya, betul. Semuanya yang berlaku, atas kehendak-Nya. =') Syukur alhamdulillah kerana kita diberikan nikmat Islam ini. Oh, ya, bercakap tentang kebergantungan tadi, ada satu hadis : 

Daripada Abdullah bin Abbas r.a., Nabi SAW bersabda yang bermaksud :"Janganlah bergantung kepada manusia walaupun dengan alat pembersih gigi." (Riwayat al-Haithami)


Saya peroleh hadis ini daripada buku 101 Rekreasi Hati daripada Dr.Zahazan Mohamed dan Nik Wafdi Nik Jaafar. Buku ini berkenaan dengan hadis-hadis Nabi, di samping disertakan sekali ilustrasi yang menarik. =) 

Kesimpulan yang dapat saya buat di sini adalah usahlah kita hanya mengharap bantuan sesama manusia dengan mengetepikan usaha sendiri. Yang utamanya, kita mestilah berusaha, kemudian berdoa dan disertakan dengan tawakkal. Allah tidak pernah mensia-siakan usaha hamba-Nya, melainkan Dia menggantikan dengan sesuatu yang lebih baik. Wallahualam.

Semoga bertemu lagi ya. InsyaAllah. Wassalam.

Jaga hati. Jaga Iman. Jaga akhlak.

p/s : Kepada teman, semoga kita sentiasa kuat dalam menjaga hubungan ini. InsyaAllah, kerana Allah masih sayangkan kita, Allah kirimkan sahabat-sahabat ini untuk peringatkan apa yang mungkin kita terlupa. Syukur alhamdulillah dan terima kasih kepada Allah kerana mengirimkan sahabat-sahabat ini. Terima kasih kepada sahabat-sahabat dan juga kepada kamu teman. Saya bersyukur kerana dikurniakan sahabat-sahabat dan teman yang memahami Islam dengan baik. Alhamdulillah. =)

No comments:

Post a Comment